Assalamualaikum w.b.t
Apa khabar teman? Memandangkan cuti panjang (panjang bagi perantau yang jauh macam saya :p) pasti banyak aktiviti dilakukan untuk menghabiskan midbreak selama seminggu ni. Semenjak dua menjak ini saya banyak mendengar ucapan-ucapan yang kurang enak seperti "makin tinggi ilmu, makin rendah adab dan tatasusila". Bukan setakat itu, diselit pula cerita-cerita yang kurang enak tentang orang-orang yang tinggi pencapaian dalam pendidikan dan boleh digolongkan dalam golongan professional. Betul ke teori ini?
Mereka membandingkan antara golongan yang tinggi pendidikan dan yang agak ketinggalan dalam pendidikan, mereka yang kekurangan dalam pendidikan jauh lebih baik adab dan tatasusila. Ini terjadi terutamanya dalam aspek kemasyarakatan.
Kes 1
Seorang guru membandingkan anak-anak muridnya yang tinggi pendidikan dan yang agak kurang dalam pendidikan. Mereka yang boleh dikategorikan tinggi dalam pendidikan datang ke rumah melawat guru tersebut. Selepas habis sesi makan dan bersembang mereka terus pulang. Sementara mereka yang 'biasa-biasa' datang ke rumah guru tersebut dengan lebih awal. Kemudian mereka masak bersama-sama guru tersebut, makan, bersembang, mengemas meja makan dan kemudian pulang.
Kes 2
Seorang ibu dari golongan profesional datang mengambil anaknya di rumah pengasuh. Sampai di rumah pengasuh, ada seorang tetamu yang sedang berada di dalam rumah pengasuh tersebut. Dia terus mengambil anaknya tanpa bersalaman atau bertegur sapa dengan tetamu tersebut.
p/s: Cerita ini tidak ada kaitan dengan sesiapa. Sekadar berkongsi realiti yang terjadi.
Memandangkan saya seorang pelajar farmasi dan akan menjadi golongan profesional suatu hari nanti, saya semestinya agak terasa dengan situasi yang berlaku sekarang. Tapi apakan daya, memang perkara ini benar-benar terjadi di luar sana. Mungkin tak semua yang datang dari golongan profesional bersikap demikian, tetapi teringat pepatah melayu, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.. :(
Islam sangat menuntut kita supaya menimba ilmu sebanyak-banyaknya dan menjadi manusia bertamadun, tetapi ingatlah dalam masa yang sama adab-adab dalam Islam sangat perlu dititikberatkan. Tidak kiralah adab menuntut ilmu, adab berkawan, adab berjiran, adab kepada ibu bapa, adab kepada orang tua dan terutamanya adab kepada Allah perlu dijaga.
Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini suatu yang remeh dan berpegang dengan prinsip "tak ape, dia jenis tak kesah, tak terasa lah". Hati orang memang tidak boleh dijangka. Mungkin dibibirnya terukir senyuman tetapi hatinya bagai terbenam sembilu. Memang tidak dapat dinafikan, kita tak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi selagi kita mampu menyenangkan hati orang sekeliling lakukanlah. Paling tidak senyum.. ;)
Saya tidak hanya menyeru golongan profesional tetapi kepada semua yang pernah merasakan "saya taknak orang buat macam tu kepada saya", maka kita lah yang kena memulakannya dahulu iaitu dengan bersikap hemah kepada orang sekeliling. Jom cipta budaya harmoni dalam masyarakat ;)
No comments:
Post a Comment