Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Semoga kita yang mempunyai rasa cinta pada nabi juga turut terasa tempias rahmat yang telah dilimpahkan oleh Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW.
"Dan Kami tidak mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam"
(Al-Anbia':107)
Setelah lama memencilkan diri, diri ini bersemangat pula untuk menulis kembali. Sepanjang tempoh ini banyak perkara berlaku dan kadang-kadang terasa tak layak menulis dan sampaikan pada yang lain. Terasa diri ini benar-benar lemah dan tak berdaya lagi. Terasa dosa dalam diri bagaikan gunung Everest malah lebih tinggi lagi.
Di saat terasa diri tak tertanggung lagi beban dan berdoa semoga Allah meringankan sedikit bebanan, tetapi Allah Maha Mengetahui, diberi pula ujian yang lain yang lebih hebat. Diri cuba memujuk. Mungkin ada hikmah yang akan terungkap. Mungkin bukan sekarang dan mungkin juga bukan di dunia. YA, JANJI ALLAH ITU PASTI! Allah juga tak akan berikan ujian yang tak mampu ditanggung hambaNya. Seorang sahabat pula memujuk, "Masih ingatkan hadis nabi? Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya sepotong ayat. Jangan putus asa dalam berdakwah. Memang semua orang tak sempurna. Nabi juga tetap menyampaikan dakwah walaupun Islam masih belum sempurna. Apabila mendapat satu wahyu, Nabi terus menyampaikan pada yang lain dan Nabi tak menunggu sehingga sempurna lembaran wahyu diturunkan. Apapun, jangan lupa baiki diri. Orang yang berjaya ialah orang yang apabila berada di bawah dia berusaha kembali untuk ke atas". Ya aku ingat...Terima kasih kerana mengingatkanku sahabat.
Iman bagaikan roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Iman juga bagaikan buih-buih yang menggelegak. Tak pernah statik. Buih pecah dan timbul kembali dengan sangat cepat. Begitulah Allah membolak-balikkan hati manusia. Jika sekarang kita selesa dengan iman yang ada pada kita, jangan disangka kita bakal pergi dari dunia dengan tahap iman yang sama. Selalulah berdoa,
"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan lah hatiku atas agamaMu, tetapkan lah hatiku atas ketaatan padaMu"
Qudwah Hasanah atau contoh teladan baik perlu ada dalam diri setiap muslim. Tidak hanya dalam kata-kata malah dalam perbuatan. Apa yang kita lakukan itulah yang menggambarkan peribadi kita. Sebenarnya manusia lebih mudah tertawan dengan kelakuan diri kita berbanding dari percakapan. Sedar tak kita, sebenarnya ini merupakan salah satu method dakwah paling mudah? Pernahkah kalian mengalami perasaan di mana terasa indah ketika melihat wajah bersih seseorang, ditambah dengan penampilan yang sederhana tetapi menepati syariat, dihias pula dengan akhlak yang sangat menawan hati? Kemudian timbul di dalam hati, "aku ingin seperti dia..." Pernahkah??? Mustahil tidak pernah kan? Itulah Qudwah Hasanah yang dapat kita lihat dan menyebabkan kita terasa untuk baiki diri.
Adakah kalian tahu, ramai non-muslim yang ragu-ragu dengan Islam kerana umatnya? Islam telah dikaburi umatnya... kenapa? Kerana apa yang dibawa Islam tidak selari dengan apa yang dilaksanakan oleh umatnya. Berapa ramai umat Islam yang faham Islam? Paling tidak, tahu asas-asas Islam. Kita tidak menunjukkan qudwah terbaik maka Islam tidak dapat tersebar meluas seperti mana yang dapat dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan zaman khulafa'. Saya ingin bertanya, apa usaha kita selama ini? Di mana kita di saat non-muslim terutamanya tertanya-tanya dengan ajaran Islam sebenar? Jika tidak hebat dalam berkata-kata, cukuplah dengan menunjukkan adab-adab yang ada dalam Islam. Kata-kata ini sebenaranya lebih-lebih lagi ditujukan kepada empunya diri yang lemah.
Qudwah hasanah yang terbaik ialah Rasulullah SAW. Baginda sangat terkenal dengan sifat jujur dan amanah sehingga digelar al-amin. Sifat ini yang memberi kepercayaan kepada semua kabilah di Mekah untuk melantik baginda untuk menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah perletakan hajarul aswad di tempat asalnya. Dan tidak dinafikan itu juga merupakan takdir Allah yang telah mentakdirkan baginda sebagai orang yang mula-mula mengunjungi kaabah. Tetapi, adakah orang Arab zaman itu yang terkenal dengan sikap keras hati, mudah bergaduh walaupun disebabkan hal kecil dan juga lebih bersifat assabiah akan mendengar cadangan Rasulullah dari keturunan Bani Hashim jika bukan kerana baginda seorang yang jujur? Baginda juga merupakan orang yang paling dipercayai untuk menjaga harta ketika ada dikalangan penduduk Mekah yang keluar daerah. Dan kerana sikap ini jugalah Siti Khadijah Binti Khuwailid tertawan pada baginda Nabi Muhammad SAW. Sangat indah bukan akhlak nabi kita?
Maka, ayuh rakan-rakan kita menjadi qudwah hasanah kepada manusia. Jika kita tidak mulakan, siapa lagi yang kita harapkan? Semoga entri yang ringkas ini dapat memberikan satu suntikan nafas baru kepada yang membaca. Kita ini tidak ubah seperti kuman dihadapan Allah Yang Maha Besar. Walaupun kita sangat kerdil di hadapanNya tetapi ketahuilah Allah sudah pun menetapkan takdir hidup setiap manusia sejak azali lagi. Walaupun terasa diri teramat hina dihadapanNya, tetapi percayalah setiap amal kebaikan yang kita lakukan selagi masih ada iman di dada, walau kecil dipandangan mata manusia tetapi sangat besar dipandangan Allah. Percayalah, pasti ada sesuatu yang menanti di sana...Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment