Sunday, July 1, 2012

hidup sebagai intern di Homeolab

Assalamualaikum

Hari Sabtu yang lalu (26/6/12) aku dan rakan-rakan termasuk jihan dan atikah menyambut hari lahir salah seorang kawan dari CUCMS yang sama-sama berpraktikal di Homeolab. 4 orang pelajar CUCMS yang berpraktikal di sini. Jujur saya katakan, perkenalan kami baru sahaja mencecah seminggu tapi ukhuwah antara kami terbina tanpa disedari. Ukhuwah terjalin bukan berdasarkan berapa lama anda berkawan, tetapi bagaimana penerimaan masing-masing terhadap kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semuanya ramah-tamah atau pendek kata 'bleh ngam'. Walaupun mereka semua berpangkat adik belaka tapi itu tak menghalang kami berkawan rapat. Tinggal seminggu sahaja lagi mereka di sini dan saya akan ingat sampai bila-bila detik perkenalan kami semua. Err, dorang dah janji nak datang hari graduasi saya nanti dan nak bagi hadiah bear yang lagi besar dari saya. Haha. (sangat kelakar dorang) =D

Hari jumaat yang lepas pula, saya dan rakan-rakan praktikal yang lain termasuk rakan-rakan CUCMS pergi ke rumah salah seorang pekerja Homeolab iaitu Kak Ida. Kebetulan hari jumaat lepas adalah hari lahirnya. Kak Ida adalah salah seorang pekerja yang paling rapat dengan kami. Mungkin juga kerana umur yang tidak jauh banyak beza. Dia juga seorang yang sangat ramah dan sudi membantu saya jika saya tak faham sesuatu perkara. Apa yang boleh saya katakan tentang dia, dia seorang ibu kepada 4 cahaya mata yang sangat penyayang. Banyak ilmu rumahtangga dan ilmu mendidik anak-anak yang saya perolehi darinya. Saya tidak pernah terlintas di fikiran untuk mendidik anak-anak dengan cara yang kreatif begitu dan saya sangat kagumi dirinya. Ilmu ini pasti saya semat dalam diri saya dan akan saya aplikasi satu hari nanti insyaAllah.

Hari ini adalah hari kedua saya di tempatkan di unit Quality Control (QC). Hari ini sangat sibuk kerana terlalu banyak sampel yang sampai untuk dianalisa. Dari pagi sampai pukul 5 iaitu waktu habis bekerja, barulah kami selesai bekerja. Itupun pada pukul 4.30 petang masih ada sampel yang sampai dari unit production cosmetic dan disebabkan kami masih belum selesai dengan sampel yang datang sebelum ini, jadi kami terpaksa menangguhkannya esok. QC agak sibuk mungin kerana bukan sahaja sampel dari production ubat, malah sampel dari producton cosmetic dan juga dari unit makanan juga perlu dihantar ke QC untuk dianalisa (kiranya macam 3 in 1 laaa..) Walaupun agak banyak kerja tapi hakikatnya saya tidak berasa penat. Saya rasa 'enjoy' dengan kerja ini. Sedikit sebanyak memberikan saya pendedahan sebenar apa tugasan QC kerana sebelum ini hanya belajar secara teori di dalam kuliah.

Baiklah, setakat ini sahaja. Esok-esok ada masa, ada umur, tiada aral melintang saya akan berkongsi lagi tentang pengalaman berharga ini. =D

Monday, June 25, 2012

Industrial Attachment di Homeolab

Assalamulaikum..

Kali ini saya dengan sukacita hendak berkongsi ilmu tentang industrial attachment yang telah seminggu selamat saya dan rakan-rakan tempuhi. Alhamdulillah.. saya dan 2 orang rakan sekelas yang lain berjaya mendapat tempat di sebuah kilang homeopati di kawasan Napoh. Napoh merupakan jiran kepada Jitra dan masih dalam satu daerah iaitu daerah Kubang Pasu. Kawasan ini terletak hanya beberapa kilometer sahaja dari sempadan Thailand. Rata-rata penduduk di kawasan ini fasih kedua-dua bahasa iaitu bahasa thailand dan bahasa melayu (tak termasuk saya). Perjalanan ke tempat praktikal hanya kira-kira 5 ke 10 minit sahaja (so, salu bertolak dari rumah 15 minit sebelum masuk kerja.. hehe).

Waktu bekerja adalah dari 9 pagi hingga 5 petang. Kami di sini bekerja 6 hari seminggu dan tidak seperti di tempat-tempat lain iaitu 5 hari seminggu (agak susah nak plan balik kampung atau keluar dengan kawan-kawan) dan hanya bercuti pada hari jumaat (tak dapat la nak p Nat Asun T_T). Ini pengorbanan yang perlu ditempuh kalau ingin mendapatkan tempat praktikal paling dekat dengan rumah. Huhu redha..

Homeolab pada asasnya adalah sebuah kilang ubat homeopati dengan registration number pada produk berakhir dengan huruf T. Tetapi banyak lagi produk-produk lain yang dikeluarkan oleh syarikat ini seperti produk kosmetik contohnya shampoo, sabun muka, scrub, ubat gigi dan lain-lain menggunakan ekstrak dari tumbuh-tumbuhan. Selain itu ialah produk makanan seperti teh (Tudya), susu tepung (Biolac) dan lain-lain. Produk paling utama dari kilang ini ialah Examo iaitu ubat yang dikatakan dapat menajamkan minda kerana fungsinya yang dapat menghubangkan sel saraf otak.

Untuk hari pertama, sesampainya saya di hadapan pintu pejabat, saya diberi punch card (first time guna punch card, tergaru juga kepala nak cucuk kat mana). Kemudian dengan bantuan rakan praktikal dari CUCMS yang telah seminggu berpraktikal di sini, mereka 'guide' kami ke dewan (takde lah dewan sangat, macam bilik untuk pembentangan je). Rupa-rupanya semua pekerja berkumpul untuk bacaan yasin. Untuk pengetahuan, setiap hari Isnin, Khamis dan Sabtu, semua perkerja akan berkumpul untuk bacaan yasin sebelum memulakan kerja.

Kami dibawa masuk ke bilik mesyuarat untuk taklimat dan pengenalan tentang syarikat oleh En. Mus'ab, PA pengarah urusan. Kemudian petang itu pula pengarah urusan, En. Jamaluddin sendiri datang untuk memperkenalkan lagi tentang syarikat. Tetapi sebenarnya beliau lebih banyak menekankan kami bagaimana untuk menjadi pengusaha berjaya dan menaik taraf produk halal. Beliau sangat memberi inspirasi dan rangsangan untuk kami menceburi bidang perusahaan ini. Beliau banyak memberi tips dan semangat untuk menjadi usahawan berjaya.

Hari kedua merangkap minggu pertama, saya ditempatkan di bahagian production cosmetic. Sesampainya saya di sana, saya terus melakukan kerja-kerja pembungkusan sabun Qaisara (sabun ni sebenarnya banyak digunakan untuk mandi mayat, tapi bak kata En.Din salah seorang pekerja di situ, "tak payah tunggu jadi mayat pon kalau nak try sabun ni"). Keesokan harinya, kami diarahkan untuk membuat shampoo jenama All In One. Saya melihat dari awal proses menimbang hinggalah proses mengadun (homogenize). Saya sangat teruja melihat production di depan mata menggunakan mesin-mesin besar dan separuhnya ada di dalam lab universiti (tapi dalam lab saiz kecik.. feeling tak sama hehe). Ekstrak yang digunakan adalah ekstrak betik. Saya juga melihat bagaimana mendapatkan ekstrak betik (Aplikasi dari belajar subjek herbal medicine). Opss jangan lupa, setiap bahan mentah atau raw material sebelum proceed dengan proses production perlulah dihantar ke QC untuk dianalisa bagi menjamin kualiti produk. 'Finish product' juga dipilih secara 'random' dan perlu juga dihantar ke QC.

Kami sudah sedia maklum bahawa syarikat ini sangat banyak dengan aktiviti. Sabtu lepas kami tidak perlu bekerja (Hoyayy!) kerana ada aktiviti gotong-royong di bangunan percetakan Era Edar. Untuk pengetahuan, Era Edar adalah salah satu bahagian dari syarikat ini dan tumpuan utamanya adalah bahagian marketing. Kami bergotong-royong mencabut rumput, menyusun bata dan mengangkat segala macam kertas. Sangat penat tapi penat hilang lepas tengok bermacam-macam jenis makanan disediakan sampai tak mampu merasa semua (kenyang yang amat sangat). Kalau kena buat biodata, air kegemaran nak tulis air Chocolatte. Serius sedapppp. Kilang buat chocolate ni depan homeolab je. Sebelum masuk UIA kena beli untuk stok minuman (instead of Milo.. kan kena boikot).

Saya teruskan dengan minggu kedua. Hari ini baru masuk hari kedua minggu kedua saya di homeolab. Minggu kedua saya ditempatkan di production ubat. Seperti di dalam production kosmetik, saya perlu memakai pakaian khas berwarna putih dan tudung kuning yang disediakan. Kasut juga berwarna putih, tetapi disebabkan kaki saya yang sangat halus macam saiz bakteria dan tiada saiz, saya terpaksa pakai plastik biru  T_T. Plastik pon jadi lah asal dapat masuk. 

Hari pertama minggu kedua ini, kami di 'guide' oleh En.Nazri merangkap supervisor. Hari ini kami perlu membuat placebo. Bermula dari proses menimbang raw material hinggalah punching, semuanya kami sebagai pelajar praktikal seramai 3 orang termasuk saya melakukannya sendiri (tapi kena ada supervisor la.. kang salah step or salah bahan plak.. naya orang yang makan). Saya sangat excited kerana beliau sangat membantu dan tidak lokek dengan ilmu. Respect beliau. Selain itu, saya juga melihat proses counting tablet masuk ke dalam primary packaging hinggalah secondary packaging dan masuk ke dalam kotak. Saya juga sepanjang hari kedua ini duduk dalam kawasan packaging dan kami memang di'treat' seperti pekerja syarikat. Kami turut terlibat dalam proses pembungkusan. Sepanjang hari ini saya membungkus Examo. Agak penat sebab akak-akak sini buat kerja laju (dah biasa la katakan). Tak terkejar dibuatnya.

Esok insyaAllah saya kongsi lagi ilmu. Tetapi esok cuma saya seorang pelajar praktikal dalam kawasan production ubat kerana lagi 2 orang pelajar praktikal ditempatkan di production kosmetik. Tapi takpe, kat kosmetik pon saya seorang juga. Alah bisa tegal biasa. Peace... =D

Nota kaki: Mostly pekerja kat sini dah pergi umrah sebab pekerja yang cukup tempoh 5 tahun bekerja walaupun hanya pemandu lori kilang akan di'sponsor' oleh pihak syarikat untuk mengerjakan umrah. Syarikat juga memiliki sekolah tahfiz vokasional khas untuk pelajar tahfiz yang ingin meningkatkan kemahiran dalam hidup. Semoga pekerja dan pemimpin syarikat ini sentiasa diberkati olehNya.

Wednesday, May 9, 2012

Dunia Fatamorgana



Wahai hati,
Tatkala nikmat dunia kamu kecapi
Terasa semuanya kerana usaha sendiri
Betapa bersusah payah kamu mengejar semua ini
Akhirnya dunia seperti tunduk di kaki
Bangganya kamu wahai hati

Wahai jiwa,
Tahukah engkau akan rahsia dunia?
Dunia ini tampak indah di mata
Semua terpesona dengan permainan sementara
Pentas ciptaan manusia
Tahukah engkau akan akhirnya?
Terasa hidup di dunia hanya sekelip mata
Kini baru tersedar
Dunia tidak kekal lama
Sungguh tidak berguna segala nikmat yang kamu bangga-bangga
Kerana semua itu pasti binasa

Wahai kalbu,
Kamu mesti tahu akan sesuatu
Allah menciptakan semua ini untuk mengujimu
Melihat sejauh mana kekuatanmu
Menghadapi dunia yang penuh debu
Jangan kamu terpedaya dengan keseronokan palsu
Syaitan pasti mendabik dada jika dapat menawanmu

Teguhkanlah dirimu dengan iman dan takwa
Kembalilah pada Dia yang menciptakan kamu dan seisi dunia
Dia yang memberikan nikmat dan menjadikan hidupmu terasa sempurna
Yakinlah dengan-Nya
Bekerjalah untuk-Nya
Bergantunglah hanya  pada-Nya
Nescaya terasa indah berada dalam dakapan kasih sayang-Nya

Ya Rahman,
Ampunilah kami yang terlalu banyak kesilapan
Seringkali jua tersungkur dengan sedikit cobaan
Jangan biarkan kami terkeluar dari landasan
Pimpinlah kami ke jalan kebenaran
Yang telah Engkau sediakan kepada hamba-hamba pilihan

Ya Rabb,
Campakkan perasaan kasih dan setia kami kepadaMu
Tiada yang lebih berhak memiliki cinta ini selain daripadaMu
Istiqomahkan hati ini untuk terus berada di jalanMu
Redhai kami dalam setiap perbuatan
Rahmati kami dalam setiap urusan
Basahkan lidah kami dengan lafaz syukur atas segala kurniaan
Kerana kami yakin akan hari pertemuan
Di mana terjawab segala persoalan
Maka, nikmat TuhanMu yang manakah kamu dustakan?

Friday, March 30, 2012

Tinggikanlah Ilmumu Setinggi Awan di Langit, Tetapi Rendahkanlah Dirimu Serendah Mutiara di Lautan

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar teman? Memandangkan cuti panjang (panjang bagi perantau yang jauh macam saya :p) pasti banyak aktiviti dilakukan untuk menghabiskan midbreak selama seminggu ni. Semenjak dua menjak ini saya banyak mendengar ucapan-ucapan yang kurang enak seperti "makin tinggi ilmu, makin rendah adab dan tatasusila". Bukan setakat itu, diselit pula cerita-cerita yang kurang enak tentang orang-orang yang tinggi pencapaian dalam pendidikan dan boleh digolongkan dalam golongan professional. Betul ke teori ini?

Mereka membandingkan antara golongan yang tinggi pendidikan dan yang agak ketinggalan dalam pendidikan, mereka yang kekurangan dalam pendidikan jauh lebih baik adab dan tatasusila. Ini terjadi terutamanya dalam aspek kemasyarakatan.

Kes 1
Seorang guru membandingkan anak-anak muridnya yang tinggi pendidikan dan yang agak kurang dalam pendidikan. Mereka yang boleh dikategorikan tinggi dalam pendidikan datang ke rumah melawat guru tersebut. Selepas habis sesi makan dan bersembang mereka terus pulang. Sementara mereka yang 'biasa-biasa' datang ke rumah guru tersebut dengan lebih awal. Kemudian mereka masak bersama-sama guru tersebut, makan, bersembang, mengemas meja makan dan kemudian pulang.


Kes 2
Seorang ibu dari golongan profesional datang mengambil anaknya di rumah pengasuh. Sampai di rumah pengasuh, ada seorang tetamu yang sedang berada di dalam rumah pengasuh tersebut. Dia terus mengambil anaknya tanpa bersalaman atau bertegur sapa dengan tetamu tersebut.

p/s: Cerita ini tidak ada kaitan dengan sesiapa. Sekadar berkongsi realiti yang terjadi.

Memandangkan saya seorang pelajar farmasi dan akan menjadi golongan profesional suatu hari nanti, saya semestinya agak terasa dengan situasi yang berlaku sekarang. Tapi apakan daya, memang perkara ini benar-benar terjadi di luar sana. Mungkin tak semua yang datang dari golongan profesional bersikap demikian, tetapi  teringat pepatah melayu, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.. :(

Islam sangat menuntut kita supaya menimba ilmu sebanyak-banyaknya dan menjadi manusia bertamadun, tetapi ingatlah dalam masa yang sama adab-adab dalam Islam sangat perlu dititikberatkan. Tidak kiralah adab menuntut ilmu, adab berkawan, adab berjiran, adab kepada ibu bapa, adab kepada orang tua dan terutamanya adab kepada Allah perlu dijaga.

Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini suatu yang remeh dan berpegang dengan prinsip "tak ape, dia jenis tak kesah, tak terasa lah". Hati orang memang tidak boleh dijangka. Mungkin dibibirnya terukir senyuman tetapi hatinya bagai terbenam sembilu. Memang tidak dapat dinafikan, kita tak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi selagi kita mampu menyenangkan hati orang sekeliling lakukanlah. Paling tidak senyum.. ;)

Saya tidak hanya menyeru golongan profesional tetapi kepada semua yang pernah merasakan "saya taknak orang buat macam tu kepada saya", maka kita lah yang kena memulakannya dahulu iaitu dengan bersikap hemah kepada orang sekeliling. Jom cipta budaya harmoni dalam masyarakat ;)

Wednesday, March 7, 2012

QuDWaH HaSaNaH ^^,

Assalamualaikum...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Semoga kita yang mempunyai rasa cinta pada nabi juga turut terasa tempias rahmat yang telah dilimpahkan oleh Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW.

"Dan Kami tidak mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam"
(Al-Anbia':107)

Setelah lama memencilkan diri, diri ini bersemangat pula untuk menulis kembali. Sepanjang tempoh ini banyak perkara berlaku dan kadang-kadang terasa tak layak menulis dan sampaikan pada yang lain. Terasa diri ini benar-benar lemah dan tak berdaya lagi. Terasa dosa dalam diri bagaikan gunung Everest malah lebih tinggi lagi.

Di saat terasa diri tak tertanggung lagi beban dan berdoa semoga Allah meringankan sedikit bebanan, tetapi Allah Maha Mengetahui, diberi pula ujian yang lain yang lebih hebat. Diri cuba memujuk. Mungkin ada hikmah yang akan terungkap. Mungkin bukan sekarang dan mungkin juga bukan di dunia. YA, JANJI ALLAH ITU PASTI! Allah juga tak akan berikan ujian yang tak mampu ditanggung hambaNya. Seorang sahabat pula memujuk, "Masih ingatkan hadis nabi? Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya sepotong ayat. Jangan putus asa dalam berdakwah. Memang semua orang tak sempurna. Nabi juga tetap menyampaikan dakwah walaupun Islam masih belum sempurna. Apabila mendapat satu wahyu, Nabi terus menyampaikan pada yang lain dan Nabi tak menunggu sehingga sempurna lembaran wahyu diturunkan. Apapun, jangan lupa baiki diri. Orang yang berjaya ialah orang yang apabila berada di bawah dia berusaha kembali untuk ke atas". Ya aku ingat...Terima kasih kerana mengingatkanku sahabat.

Iman bagaikan roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Iman juga bagaikan buih-buih yang menggelegak. Tak pernah statik. Buih pecah dan timbul kembali dengan sangat cepat. Begitulah Allah membolak-balikkan hati manusia. Jika sekarang kita selesa dengan iman yang ada pada kita, jangan disangka kita bakal pergi dari dunia dengan tahap iman yang sama. Selalulah berdoa, 


"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan lah hatiku atas agamaMu, tetapkan lah hatiku atas ketaatan padaMu"

Qudwah Hasanah atau contoh teladan baik perlu ada dalam diri setiap muslim. Tidak hanya dalam kata-kata malah dalam perbuatan. Apa yang kita lakukan itulah yang menggambarkan peribadi kita. Sebenarnya manusia lebih mudah tertawan dengan kelakuan diri kita berbanding dari percakapan. Sedar tak kita, sebenarnya ini merupakan salah satu method dakwah paling mudah? Pernahkah kalian mengalami perasaan di mana terasa indah ketika melihat wajah bersih seseorang, ditambah dengan penampilan yang sederhana tetapi menepati syariat, dihias pula dengan akhlak yang sangat menawan hati? Kemudian timbul di dalam hati, "aku ingin seperti dia..." Pernahkah??? Mustahil tidak pernah kan? Itulah Qudwah Hasanah yang dapat kita lihat dan menyebabkan kita terasa untuk baiki diri.

Adakah kalian tahu, ramai non-muslim yang ragu-ragu dengan Islam kerana umatnya? Islam telah dikaburi umatnya... kenapa? Kerana apa yang dibawa Islam tidak selari dengan apa yang dilaksanakan oleh umatnya. Berapa ramai umat Islam yang faham Islam? Paling tidak, tahu asas-asas Islam. Kita tidak menunjukkan qudwah terbaik maka Islam tidak dapat tersebar meluas seperti mana yang dapat dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan zaman khulafa'. Saya ingin bertanya, apa usaha kita selama ini? Di mana kita di saat non-muslim terutamanya tertanya-tanya dengan ajaran Islam sebenar? Jika tidak hebat dalam berkata-kata, cukuplah dengan menunjukkan adab-adab yang ada dalam Islam. Kata-kata ini sebenaranya lebih-lebih lagi ditujukan kepada empunya diri yang lemah.

Qudwah hasanah yang terbaik ialah Rasulullah SAW. Baginda sangat terkenal dengan sifat jujur dan amanah sehingga digelar al-amin. Sifat ini yang memberi kepercayaan kepada semua kabilah di Mekah untuk melantik baginda untuk menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah perletakan hajarul aswad di tempat asalnya. Dan tidak dinafikan itu juga merupakan takdir Allah yang telah mentakdirkan baginda sebagai orang yang mula-mula mengunjungi kaabah. Tetapi, adakah orang Arab zaman itu yang terkenal dengan sikap keras hati, mudah bergaduh walaupun disebabkan hal kecil dan juga lebih bersifat assabiah akan mendengar cadangan Rasulullah dari keturunan Bani Hashim jika bukan kerana baginda seorang yang jujur? Baginda juga merupakan orang yang paling dipercayai untuk menjaga harta ketika ada dikalangan penduduk Mekah yang keluar daerah. Dan kerana sikap ini jugalah Siti Khadijah Binti Khuwailid tertawan pada baginda Nabi Muhammad SAW. Sangat indah bukan akhlak nabi kita?

Maka, ayuh rakan-rakan kita menjadi qudwah hasanah kepada manusia. Jika kita tidak mulakan, siapa lagi yang kita harapkan? Semoga entri yang ringkas ini dapat memberikan satu suntikan nafas baru kepada yang membaca. Kita ini tidak ubah seperti kuman dihadapan Allah Yang Maha Besar. Walaupun kita sangat kerdil di hadapanNya tetapi ketahuilah Allah sudah pun menetapkan takdir hidup setiap manusia sejak azali lagi. Walaupun terasa diri teramat hina dihadapanNya, tetapi percayalah setiap amal kebaikan yang kita lakukan selagi masih ada iman di dada, walau kecil dipandangan mata manusia tetapi sangat besar dipandangan Allah. Percayalah, pasti ada sesuatu yang menanti di sana...Wallahua'lam.