Monday, August 22, 2011

Emakku Yang Tabah

Emakku yang tabah
terlalu banyak yang inginku senaraikan
setiap ujian yang kau lalui
sepanjang membesarkan anak-anakmu
sesungguhnya engkau seorang ibu yang sangat tabah
sungguh aku katakan

Emakku yang tabah
matahari masih belum menampakkan bayangnya
engkau sudah bangun bersiap sedia menjalankan tugasmu
semuanya kau lakukan
demi melihat anak-anakmu bahagia

Emakku yang tabah
engkau meredah terik mentari di tengah hari dengan hanya bermotorsikal
untuk mengambil anak-anakmu dari sekolah
tapi tidak sedikit pun engkau mengeluh
engkau cuma berkata "mungkin emak patut beli kasut buat kurangkan sedikit terasa bahang di kaki"

Emakku yang tabah
anak-anakmu selalu meminta-minta
engkau tetap berusaha memenuhi kehendak mereka
selagi masih termampu dan terdaya
asalkan anak-anakmu bahagia

Emakku yang tabah
terlihat sudah garis-garis halus di wajah
terlihat engkau memicit-micit kaki dan tangan mu
aku ingin memicit kakimu buat menghilangkan sedikit lenguh itu
tetapi engkau berkata "tak mengapa,lepas rehat sekejap hilang terus lenguh ni"
mana mungkin lenguh terus hilang begitu sahaja
ku tahu engkau masih tidak mahu menyusahkan anak-anakmu

Emakku yang tabah
aku tidak mampu membalas segala pengorbananmu
walaupun habis hayatku dikandung badan
melihat engkau nenyak tidur sudah cukup membuat hatiku sayu
bahagia melihat engkau dapat merehatkan diri
setelah penat seharian

Emakku yang tabah
walaupun ku tahu
mungkin aku tidak dapat menjadi seorang anak seperti yang engkau harapkan
namun aku ingin menjadi anak yang tidak menyusahkan
aku ingin menjadi anak yang menyenangkan
setiap kali aku ingat semula
satu per satu jasa-jasamu
setiap itulah aku semakin bersemangat
untuk merubah dan memperbaiki diri
supaya dapat menjadi anak yang lebih baik

Terlalu lama aku pendamkan perasaan ini
Sudah lama inginku luahkan segala isi hati
aku ingin engkau tahu aku amat mencintaimu
semoga Allah merahmatimu
semoga engkau ditempatkan di syurga nanti
kerana tingginya ketabahan dan kesabaranmu
dan kerana engkau melahirkan anak-anak
yang taat pada kedua ibu bapa dan patuh pada perintahNya
anak-anak ini pasti sentiasa mendoakan kesejahteraan untukmu
itulah amal yang tidak putus-putus

Suatu hari nanti aku juga akan bergelar seorang ibu
akan ku contohi semangatmu
semoga aku juga diberi ketabahan yang tinggi sepertimu
sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu Allah
kerana dianugerahi seorang ibu sepertinya

Dedicated special for my mom: Shamsiah Bt Abdul Jalil

Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan kali ini

Assalamualaikum w.b.t

Syukur atas nikmat yang Allah beri kerana sempat untuk menjalani ibadah puasa tahun ni. Siapa yang tak nak memasuki bulan mulia ni dengan pelbagai ganjaran yang Allah janjikan. Hurm...berbagai-bagai perkara juga turut berlaku dalam bulan ini. Dalam kita bergembira menjalani ibadah puasa, aku dikejutkan dengan berita yang tak disangka-sangka. Saudaraku telah kembali ke rahmatullah sabtu lepas. Orangnya masih muda, baru 20-an. Pemergiannya amat tidak disangka-sangka. Dia tidak menghadapi sebarang penyakit kronik. Seperti tidak percaya dia telah pergi. Malam itu selepas berbuka puasa, dia sempat lagi bergurau senda dengan adik-adiknya. Apabila hampir tengah malam dia sudah tiada. Sesungguhnya umur yang muda belum tentu mempunyai perjalanan hidup yang panjang. Allah boleh tarik bila-bila masa nyawa seseorang tanpa terlewat walau sesaat. Inilah kuasa Allah...

Setiap malam aku pasti berfikir, sempatkah aku menemui hari esok? Satu lagi kejadian yang masih tidak dapat dilupakan. Setelah selesai bertarawikh di sebuah masjid bersama keluarga, emak yang memandu kereta (ayah menaiki motorsikal kerana ingin merasa bertarawikh di masjid lain) sempat mengelak daripada dirempuh sebuah kereta yang memang sangat laju ketika itu. Emak cakap, dalam cermin sisi memang tak ada kereta itu tapi mujur emak menoleh sendiri ke belakang untuk melihat kalau-kalau ada kereta. Pada jarak yang sudah dekat, kereta tersebut menyalakan lampu tinggi dan emak sempat mengelak. Dalam pada emak sempat mengelak, rupa-rupanya ada sepasang suami isteri yang turut selesai bertarawikh sedang menunggang motorsikal di hadapan. Bunyi brek yang sangat kuat memecah sunyi malam itu. Kereta itu terlalu hampir melanggar sepasang suami isteri tersebut. Aku yang berada di dalam kereta seperti tidak mampu mengeluarkan suara. Aku menekup muka kerana tidak sanggup melihat kejadian yang tidak diingini berlaku depan mata. Selepas membuka mata, mujurlah kereta itu sempat membrek dan motorsikal itu sempat mengelak. Keesokan harinya, masih jelas bekas tayar di atas jalan. Dalam bersyukur, hati tetap berdebar-debar. Allah masih memanjangkan usia kami dan sepasang suami isteri tersebut. Aku berfikir, andai ditakdirkan aku pergi selama-lamanya pada malam itu, belum cukup amalan yang aku lakukan sebagai bekalan hari kemudian. Banyak sungguh dosa hambaMu ini. Hanya rahmatMu sahaja yang mampu menyelamatkan aku dari azab kubur dan hari akhirat. Setiap hari aku pasti berfikir, masih adakah nyawaku esok hari?

Muhasabah dan terus muhasabah...

Aku juga perasan sesuatu. Apa yang lain daripada Ramadhan yang lepas ialah juadah berbuka semuanya kami sekeluarga yang sediakan. Bazar ramadhan pun jarang-jarang sangat pergi. Murtabak, roti jala, nasi beriyani, dadih dan segala makanan yang selalu dijual di bazar, semuanya kami buat sendiri. =D Kami juga bergilir-gilir memasak hidangan utama juadah berbuka. Hari ini emak, esok pula ayah, lusa pula adik, saya? hehe...sekadar menolong apa yang patut. Tak brani masak hidangan utama, tak dapat rasa masin ke tawar ke. Huhu belum pro masak tanpa merasa makanan. Tapi part buat murtabak ayah serahkan pada saya. Katanya sedap...hehe...(part ni boleh pulak tak merasa..pelik betul =P). Ayah juga awal-awal sudah menyediakan bahan-bahan yang patut untuk membuat kek dan kuih-muih. Saya bertanya, "Kenapa banyak sangat buttercup ni ayah?". Ayah menjawab, "Nanti boleh la kamu buat kek". Erk.....tak pe ikut buku resepi je..hehe

Sebelum ini aku jarang merasakan nikmat seperti ini. Mungkin juga sejak dari sekolah, aku telah tinggal di asrama. Bila masuk universiti, lebih kurang seminggu sebelum raya baru pulang ke rumah. Indahnya nikmat ini. Aku sangat bersyukur kerana di lahirkan dalam sebuah keluarga yang harmoni.

Pengalaman berpuasa bersama kawan-kawan juga amat aku rindui terutama di CFSIIUM. Bersama-sama dengan roomate berbuka puasa di masjid UIA hampir setiap hari. Terkejar-kejar jugak makan sebab imam bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib. Kadang-kadang terlepas solat maghrib bersama imam masjid dan terpaksa buat jemaah sendiri.Huhu...rindu pergi bazar sebelah UIA dengan berjalan kaki. Antara makanan yang aku paling suka ialah laksam. Aku yang asalnya tidak menggemari laksam sejak kecil tapi bila rasa laksam yang dibuat makcik tu terus jadi 'feveret'. Kuah lemak laksam tu mmg 'tip top'! Rindu juga saat-saat bersahur bersama roomate. Aku yang memang terkenal suka makan nasi dengan kuah yang macam pulau tapi bila bersahur, nasi putih dengan serunding pun boleh masuk. Rindunya saat-saat itu...setiap kali Ramadhan tiba, pasti ada sahaja kenangan tercipta. Indahnya Ramadhan...

Antara kelebihan Ramadhan ialah bulan ini mempunyai 1 malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah menganugerahkan kita malam ini salah satunya kerana umat nabi Muhammad mempunyai jangka hayat yang pendek berbanding umat terdahulu. Umat terdahulu mampu beribadah beratus-ratus tahun tetapi kita pula tidak sampai seratus tahun. Inilah ganjaran yang Allah berikan kepada kita umat nabi Muhammad. Amat rugilah kepada sesiapa yang mensia-siakan peluang yang sudah terbentang ini. Semoga ibadah kita bukan semata-mata untuk memperoleh pahala dan ganjaran tetapi rahmat dan kasih sayangNya yang amat kita harapkan. Walau setinggi gunung amalan, tanpa rahmatNya tetap belum melayakkan kita melepasi pintu syurga. Selamat mencari Lailatul Qadr... =D

Sekian,wallahua'lam.

Thursday, June 16, 2011

Mati Itu Pasti, Hidup Itu InsyaAllah

Assalamualaikum wbt

Sesungguhnya mati itu pasti dirasai oleh setiap anak adam yang lahir ke dunia. Dunia hanya sebuah tempat persinggahan. Telah disebutkan bahawa kehidupan satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Kehidupan di dunia ini seolah-olah tidak sampai satu hari pun kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Apa sangat lah harta benda, pangkat dan pujian yang melambung tinggi di dunia ini andainya muflis di akhirat.

Jika sebelum ini kita tumpang gembira dengan sahabat-sahabat yang bertemu jodoh pada usia yang muda, mungkin kita terlupa seketika bahawa ajal juga boleh bertemu kita pada usia yang muda. Saya bertanya kembali pada diri. Sempatkah aku memegang segulung ijazah? Sempatkah aku bekerja untuk menampung keluarga? Tercapaikah impian untuk melahirkan seorang mujahid/ah seperti Saidina Ali dan Siti Fatimah? Tercapaikah impian untuk menjejakkan kaki di Tanah Haram bertemuNya di sana? Akan tertunaikah amanah aku di dunia ini sebagai seorang khalifah dan hambaNya? Semua itu berlegar-legar di fikiran...Sempatkah...

Ya Allah...maafkan aku...aku terlupa semua itu...aku terlupa mati tak mengenal usia...hanya yang aku pohon, ambillah nyawaku pada saat aku bersemangat dalam beribadah padaMu dan saat jiwa aku berkobar-kobar mempertahankan agamaMu.

Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Sesungguhnya kematian benar-benar membuatkan kita insaf. Semoga aku tidak lupa semua ini. Semoga aku sentiasa beringat-ingat dengan hari yang pasti. Semoga namaku disebut-sebut oleh penghuni langit dan semoga pengakhiran hidupku adalah manis.

Al-Fatihah buat semua muslimin muslimat yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu menghadap Ilahi.Buat arwah adha dan amierul yang telah kembali ke rahmatullah pada 150611, doakan semoga keluarga mereka tabah hadapi semua ini. Walaupun mereka tidak lama bersama kita dan selama hidupnya sentiasa membahagiakan, itu lebih baik daripada hidup lama tetapi hidupnya seperti tiada makna. Aku tak layak menuturkan semua ini kerana aku tidak pernah merasai ujian ini tetapi semua ini benar-benar buatkan aku berfikir.Sama-sama kita bermuhasabah.

Rencana Allah tiada siapa tahu tetapi ketentuan takdir qada' dan qadar suatu yang wajib kita imani

Sunday, June 12, 2011

Cerita Negara Orang

Assalamualaikum w.b.t

Setelah sekian lama menyepi akhirnya datang kerajinan menulis. Hari ini terasa nak sangat share pengalaman sewaktu berprogram dalam waktu cuti semester ni iaitu di Kemboja dan Thailand. Maaf lah kepada kawan-kawan yang 'request' suruh ceritakan pengalaman ke sana. Lambat sikit nak cerita. Walaupun sudah hampir sebulan ke sana tetapi saya tidak akan lupa janji saya untuk menceritakan serba sedikit pengalaman melawat ke negara orang.

Banyak sangat pengalaman yang dapat sepanjang 7 hari berada di Kemboja dan 4 hari di Thailand. Jika hendak dibandingkan Malaysia dengan sebuah negara yang dikira masih baru dibebaskan dari pemerintahan diktator iaitu Kemboja, boleh dikatakan keadaan di Kemboja tak ubah seperti Tanah Melayu sekitar tahun 60-an. Tidak banyak bangunan pencakar langit malah, deretan kedai masih ada yang berkayu. Boleh dikatakan sepanjang jalan ada sahaja pengemis. Walau bagaimanapun, kami tetap memberi sekadar yang mampu.

Saya pun tidak banyak mengambil gambar cuma mengharapkan kamera kawan-kawan..=D Tetapi, sebenarnya terdapat juga beberapa tempat yang sangat menarik perhatian. Antara tempat menarik yang kami lawati ialah Killing Field yang terletak di ibu negara Kemboja iaitu Phnom Penh. Tempat bersejarah ini asalnya merupakan sebuah sekolah tetapi sewaktu zaman pemerintahan Khmer Rouge ia ditukar kepada penjara. Di penjara ini rakyat yang menentang kerajaan akan dihukum dan diseksa dengan dasyat. (Tak sanggup nak tunjuk gambar mangsa yang diseksa. Paling tak boleh lupa apabila bayi dihayunkan seluruh badannya ke batang pokok sehingga hancur tempurung kepala)

Apa pun, ini sejarah hitam bagi rakyat Kemboja yang tidak akan sesekali dapat dilupuskan dari kotak ingatan mereka. Kerajaan membunuh rakyat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan cendikiawan dan profesional. Ini kerana, kerajaan berfikir golongan ini lah yang selalunya memulakan penentangan dan pemberontakan. Jadi, langkah paling selamat bagi kerajaan ialah dengan membunuh golongan-golongan ini beserta seluruh isi keluarga. Sungguh tidak berperikemanusiaan!

Banyak iktibar dan peringatan yang kami perolehi semasa lawatan di sini. Apa yang pasti, diharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di negara itu malah di mana-mana negara pun. Teringat negara Palestin yang masih berkeadaan seperti itu. Diceroboh oleh manusia yang berhati kebinatangan malah lebih teruk dari itu. Bersyukur kerana dilahirkan di dalam sebuah negara aman damai dan keluarga harmoni. Sama-sama kita berdoa untuk saudara yang tidak senasib dengan kita di sana dan semoga mereka tabah.

Selain dari itu, kami juga sempat ke 'tempat wajib melancong' di Kemboja ini iaitu Siem Riep. Siem Riep sememangnya sebuah pekan yang memang dibangunkan untuk tujuan pelancongan. Maka tidak hairanlah bermacam-macam tempat menarik seperti pusat membeli belah atau night market yang terkenal dengan barangan yang murah menjadi tarikan pelancong asing. (Best belajar tawar menawar..acah je nak pegi, terus dipanggil semula..hehe =D)

Kami juga dibawa oleh Ustaz Haji Musa yang pandai berbahasa Melayu untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah pada waktu senja. Kami menelusuri Tasik Tonle Sap iaitu tasik terbesar di Asia merentasi 3 buah negara iaitu Myanmar,Vietnam dan Kemboja.(Dulu belajar je dalam subjek geografi..tak sangka sampai jugak =D). Sungguh banyak pengalaman menarik ketika merentasi tasik ini dan ketika di atas menara. Kisah mencuit hati dan tidak kurang juga kisah menyayat hati. (Tak habis kalau nak cerita dalam ni, kawan-kawan hostel kalau nak tau cerita ni jangan lupa ingatkan ye...=D). Cukuplah sekadar meletakkan gambar ini untuk menceritakan segala-galanya.

 dalam bot merentasi Tonle Sap
 budak-budak balik sekolah
 "lady, one dolar"
(periuk dijadikan sampan..pendayung guna tangan)
 u see what i see??
 Subhanallah..sunset..kenapa warna oren??
Subahanallah..sun disappear..kenapa biru??
(teringat pertanyaan Dr Kausar "Kenapa laut nampak biru?")
*kalau nak tau rajin2 tanya google..=D*

Rasa dah letih plak menulis..tunggu part seterusnya..insyaAllah kalau datang lagi kerajinan saya akan sambung part yang lebih menarik...^-^

p/s: esok start posting di kedai farmasi berhampiran selama 2 minggu...semoga beroleh ilmu yang bermanfaat...doakan lah saya dapat menjadi ahli farmasi yang hebat dalam membantu masyarakat =D

Tuesday, April 19, 2011

EXAM vs CUTI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Setelah lebih kurang 3 minggu tak update blog, hari ini diberi kesempatan untuk berkongsi pengalaman suka duka sepanjang bergelar pelajar farmasi di UIA Kuantan. Sesungguhnya Tahun 2 Semester 2 ni sangat banyak lah cabarannya. The most challenging one among other sem. Tapi tak tahu la bila masuk clinical year nanti macam mana busy nye plak kan...tapi tak pe, saat macam ni la nanti akan jadi kenangan manis untuk diingati kan? Saat macam ni la akan mengajar diri untuk jadi lagi matang. Pandai mengurus masa, belajar jadi lebih produktif (maksudnya, kalau dulu dalam satu masa cuma boleh buat satu kerja je..tapi time busy ni la akan ajar kita gunakan waktu seoptimum mungkin untuk siapkan kerja-kerja yang perlu disiapkan dalam waktu yang sama).

Jangan sekali-kali mengeluh dengan kehidupan yang macam ni. Sebab ini jalan yang telah kita pilih. Dan cuba bandingkan busy kita dengan busy para nabi dan sahabat yang sentiasa berusaha menyebarkan dakwah Islam. Mereka hampir setiap hari ada peperangan walaupun dalam bulan Ramadhan. Ketahuilah rakan-rakan, busy kita ni tak layak pon nak dibandingkan dengan busy mereka. Kita terima apa sahaja yang telah Allah rencanakan untuk kita dengan tabah. Apa yang telah Allah tetapkan memang sesuai dengan kemampuan kita. Sebab itu lah anda terpilih untuk menjadi pelajar farmasi di UIA. Anda golongan terpilih dan bersyukur lah kerana masih lagi dapat meneruskan pengajian hingga tamat Tahun 2 Semester 2. (^-^)

Tempoh peperiksaan lebih 2 minggu dengan 9 subjek dan 12 paper untuk dijawab sangat memberi kesan kepada diri. Tempoh ini ku anggap sebagai tempoh ujian kecil yang Allah beri. Tempoh ini bukan tempoh untuk tension2 dengan nota yang berlambak-lambak belum dibaca. Bukan juga tempoh kita melupakan sekejap hal-hal akhirat semata-mata untuk mendahulukan urusan dunia. Jujur saya menulis di sini, setelah 4 semester saya tempuh perit jerih sebagai seorang student, baru sem ni apabila musim peperiksaan tiba, saya selitkan di dalam doa supaya Allah berikan saya ketenangan sepanjang musim peperiksaan ni terutamanya. Semoga tiada perasaan risau dan kusut memikirkan nota-nota yang setinggi paras pinggang. Semoga apa sahaja yang berlaku dalam tempoh ini dapat saya hadapi dengan tenang. Saya sendiri rasa letih apabila teringat kembali 3 sem sebelum ini. Bagaimana kucar kacir rasa dalam hati bila menempuhi tempoh peperiksaan. Tak sanggup lagi hadapi keadaan seperti tu.

Syukur alhamdulillah...walaupun tempoh peperiksaan kali ini lebih padat, lebih subjek dan lebih paper yang harus ditempuh, Namun, Allah masukkan secebis ketenangan dalam hati. Tiada rasa serabut mahupun rasa kucar-kacir, bak kata pepatah, exam kali ni 'just follow the flow'. Kita berusaha sebaik mungkin dan jawab berdasarkan apa yang telah kita faham. Kalau rasa boleh jawab, tidak lupa ucapkan syukur dan lebih baik lagi ditambah dengan solat syukur. Tapi, kalau tiba-tiba rasa macam tak berapa boleh jawab dan rasa macam nak 'frust', refer semula Surah An-Insyirah, "Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain". Allah tegaskan dua kali, "Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan". Jadi, letakkan 100% keyakinan kepada Allah. Allah mampu berbuat apa sahaja. Tiada apa yang mustahil bagi Allah. Yakinlah dengan pertolongan Dia setelah kita telah berusaha sedaya-upaya.

Selain itu,Allah juga menyebut, "Maka apabila engkau telah selesai dari sesuatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain". Jadi, kita jangan terlalu memikirkan paper yang kita rasa tak boleh jawab tu. Sebaiknya kita tumpukan paper seterusnya. Moga-moga paper seterusnya menjadi lebih baik daripada paper sebelum ni. Itu lebih baik kan? Moga-moga paper seterusnya dapat jadi penawar sedih hati kita untuk paper yang tak boleh jawab tu jika kita dapat jawab paper seterusnya dengan jayanya. (penulisan yang ditulis berdasarkan pengalaman dan dari sudut hati penulis).

Dalam saya terus memohon doa agar ditenangkan hati dan fikiran, saya juga tak lepas diberikan ujian. Allah nak uji sejauh mana jiwa saya tenang menghadapi dugaan dan sejauh mana rasa kebergantungan kepada Allah. Ditakdirkan Allah, saya belum habis mengulang kaji subjek Pharmaceutical Analysis. Saya betul-betul ingat exam petang dan sempatlah saya menghabiskan beberapa nota yang masih belum dibaca. Pagi tu bila saya bangun, saya pelik kenapa semua orang nampak bertungkus lumus menghafal sedangkan exam petang. tapi saya masih me'relax'kan diri. Teruskan membaca nota yang masih belum disentuh. Tiba-tiba Allah gerakkan hati untuk menyemak semula jadual exam. MashaAllah.....exam pukul 9 pagi rupanya. Masa itu jam hampir menunjukkan angka 8. Jantung tiba-tiba berdegup kencang, tangan tiba-tiba menggeletar, hati kacau bilau, otak dah tak mampu menafsir perkara-perkara logik dan dunia seperti berhenti berputar. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan waktu itu. Tak pernah lagi jadi keadaan seperti ni terjadi sebelum ni.

Setelah mengalami keadaan paranormal beberapa ketika, saya mencari sedikit kekuatan. Cuba berfikir hal positif. Yakin kalau Allah nak tolong pasti Allah tolong. Walaupun dah habis baca tapi kalau ditakdirkan kita tak dapat jawab memang tak dapat jawab juga. Hal ni betul-betul dah menguji tahap kebergantungan saya padaNya. Tenangkan hati, ambil wudhuk dan seperti biasa buat solat dhuha pagi itu. Saat itu, saya berserah kepada Dia. Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Jika ditakdirkan saya tak dapat jawablah yang akan membuatkan saya lebih dekat pada Dia, saya pasrah. Jika saya dapat jawab yang akan membuatkan saya lebih dekat pada Dia, saya bersyukur.

Syukur alhamdulillah. Walaupun tak de la dapat jawab sangat kan, tapi masih bersyukur sebab apa yang keluar tu yang dah dibaca. Jadi, tak de la jadi macam Dr. Sanda selalu cakap, "Student buat buku teks sendiri". Maksudnya, student jawab ikut suka hati je, tak de pon dalam buku...huhu...Isi pon tak tahu la cukup ke tak. Almaklum la, bila jawab dalam keadaan tak berapa bersedia dan masih terkejut, nak ekstrak isi pon ingat-ingat lupa. Semoga dimurahkan hati Dr. Helal menanda kertas saya dan rakan-rakan yang lain juga...(^-^)...amin,amin,amin.......................(hopefully, paper lain pon macam tu juga. Pendek kata, semoga lecturer-lecturer yang menanda kertas kami, dimurahkan hati untuk beri markah..hehe)

Banyak sangat perkara yang Allah dah tarbiah pada diri ini. Bersyukur juga sebab ada musim peperiksaan ni kan? Waktu ni la sifat dan kelakuan sebenar terserlah. Tahap keimanan diuji. Meningkat atau menurun? Tanya diri sendiri. Jika menaik, bersyukurlah dengan anugerah ni. Jika menurun, muhasabah kembali. Diharapkan ketibaan musim peperiksaan seterusnya kita menjadi lebih baik dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan seperti tadi.

Cerita tadi sekadar perkongsian dengan sahabat-sahabat. Semoga dapat dijadikan pengajaran dan teladan. (P/S: tengok jadual betul-betul at least 2 hari sebelum paper..huhu). Yang baik dari Allah, yang buruk kerana kelemahan saya dalam penyampaian. Sekian~

gambar takde kena mengena.
(ni tablet home made)

Saturday, March 26, 2011

Al-Quran...6-1=0

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih & Maha Penyayang

Saya amat tertarik dengan sebuah cerita yang telah disampaikan oleh seorang ukhti. Pada zaman universitinya (luar negara), sebuah forum telah dianjurkan. Panel yang dijemput adalah seorang imam, seorang paderi dan seorang Yahudi. Mereka dijemput untuk memberikan pemahaman dan pendedahan kitab pegangan masing dimana Islam dengan Al-Quran, Nasrani(Kristian) dengan Bible dan Yahudi dengan Taurat (Talmud). Maka, ketiga-tiga mereka berhujah dengan pendapat masing-masing. Sudah pasti hujah yang paling meyakinkan adalah Al-Quran yang tiada keraguannya. Seorang hamba Allah yang baru sahaja memeluk Islam dan masih baru mengenali Islam telah bangkit dan berkata,"Bolehkah kita ketepikan dulu soal kitab masing-masing dan saya mahu mendengar hujah kalian tentang agama kalian". Imam itu berkata,"Tidak, tidak sempurna rukun iman jika kitab diketepikan. Islam turun bersama-sama Al-Quran".

Al-Quran sesekali tidak boleh diketepikan kerana Al-Quran lah yang mencorakkan kehidupan seorang muslim dan masyarakat muslim. Inilah yang dikatakan 6-1=0. Hilang 1 maka hilanglah keseluruhannya. Betapa pentingnya Al-Quran dalam kehidupan kita. Al-Quran bukan semata-mata ayat yang menerangkan azab-azab kepada orang yang melakukan dosa atau keindahan nikmat syurga kepada orang-orang beriman, tetapi Al-Quran adalah KATA-KATA ALLAH. Segala isi Al-Quran meliputi seluruh kehidupan kita termasuk ekonomi, sosial, politik dan juga sejarah umat-umat terdahulu untuk kita jadikan pengajaran. Sesungguhnya sesiapa yang membaca dan bertadabbur Al-Quran pastilah bertambah imannya. 

Kerana Al-Quran adalah CAHAYA
 
"Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, dan telah Kami turunkan cahaya yang terang-benderang (Al-Quran)" (An-Nisa:174)

Kerana Al-Quran mempunyai RUH.   

"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mngetahui apakah kitab (AL-Quran) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk siapa yang Kami kehendaki diantara hamba-hamba Kami. Dan sungguh engkau benar-benar membimbing manusia kepada jalan yang lurus."
 
Jadi, sukalah saya untuk berkongsi ilmu dari apa yang telah saya dapat dengan rakan-rakan yang dirahmati Allah.

Bagaimana cara untuk kita merasai seolah-olah sedang berinteraksi dengan Al-Quran?
1. Membaca
2. Fahami kandungan (tadabbur)
3. Ikut & laksanakan
4. Hafaz
5. Mendakwahkan Al-Quran

Dimanakah tingkat kita? Jujur saya katakan, belum sempurna tingkatan yang telah dapat saya lakukan. Tetapi sekurang-kurangnya kita perlu ada keazaman untuk melakukan kelima-lima perkara tersebut. Sedikit demi sedikit. InsyaAllah dipermudahkan. 

Teringat saya sebuah kisah tentang sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Mereka tidak akan meneruskan hafalan ayat seterusnya jika tidak betul-betul melaksanakan ayat yang sebelumnya. Kagum dengan keazaman para sahabat. 

Lagi sebuah kisah, Umar telah jatuh tersungkur dan pengsan tatkala mendengar seseorang membacakan ayat dari surah At-Tur: 7-8

"Sungguh azab Tuhanmu pasti terjadi. Tidak sesuatu pon yang dapat menolaknya"

Umar merasakan itu adalah kata-kata dari Allah untuknya. Betapa hidupnya hati Umar sehingga merasakan seolah-olah sedang berinteraksi dengan Al-Quran dan merasakan Allah sedang berbicara dengannya. Sedangkan Umar sudah terjamin syurga bersama 9 sahabat yang lain, apatah lagi kita.Renungan bersama...

Jadi, bagaimana pula cara untuk kita menghayati Al-Quran?
1. Bacalah Al-Quran secara tartil (perlahan-lahan, bertajwid,renungkan maksud)
    "Bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan" (Al-Muzammil:4)
2. Dengar bacaan-bacaan ayat Al-Quran
3. Baca dalam keadaan menangis
    Saranan Rasulullah SAW,
    "Bacalah olehmu wahai orang-orang beriman ayat dari Al-Quran dalam keadaan kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis, usahakanlah untuk menangis"

Jadi, buangkanlah segala perasaan ego. Hati-hati yang mudah menangis inilah yang lebih mudah untuk dilunak, dilentur dan didekatkan jiwanya kepada Allah. Jangan sampai sahabat-sahabat rasakan seperti tiada perasaan apabila melewati ayat-ayat yang sebenarnya ditujukan kepada kita. Bimbanglah..pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sama-sama kita muhasabah...

Saya hanya manusia yang sekadar merasa diri ini dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan sesuatu yang saya rasakan berguna. Masih banyak kekurangan dan mohon ampun jika ada kesalahan atau yang paling ditakuti jika ada terasa hati tetapi dipendamkan. (tak lama lagi nak final dah..maaf kawan-kawan..susah pulak ilmu nak masuk kalau hati gelap..huhu) Yang baik dari Allah, yang buruk dari kelemahan yang disandarkan pada diri ini.

Sekian...Wassalam

Saturday, February 5, 2011

Aku Memilih Mu

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw...

Sebenarnya tak tahu macam mana hendak diluahkan di sini tapi tak sanggup pendam lagi...but i just try to write in a way you can understand...

Satu pengalaman cukup bermakna hari ni aku dapat. Sudah lama sangat kiranya aku tidak bertanya khabar dengan seorang teman baikku ketika sekolah dahulu. Seingat aku kali terakhir kami berhubung sewaktu aku masih menuntut di matrik UIA. Sebenarnya aku masih menyimpan nombor telefonnya tetapi entah kenapa aku tidak terasa untuk menghubunginya kerana risau akan menggangunya kerana aku tahu dia seorang yang sangat aktif dalam kokurikulum di universiti nya (sebenarnya aku tahu dia bergiat aktif dalam gerakan dakwah dan pernah mengajak aku bersama-samanya tapi pada waktu itu aku masih kurang jelas dengan tujuan hidup dan masih terkapai-kapai dan ajakannya aku terasa seperti berat).

Tapi tadi...tanganku ligat mencari namanya di dalam phone book dan mencari mesej forward yang sesuai untuk dihantar padanya. Rindu seperti datang tiba-tiba...dan Titiiiitt...mesej ku dibalas..."Assalamualaikum (panjang salamnya tidak seperti aku yang sekadar menulis 'Slm'), maaf siapa ye?" Dan aku pula membalas, "Wslm, ni Ika..enti apa kabar? Lama sangat tak dengar khabar"..."Maaf Ika, handphone saya hilang dan nombor Ika pon hilang, hari Khamis hari tu teringat Ika tapi cari nombor tak jumpa. Alhamdulillah dengan izin Allah dapat berhubung semula dengan Ika"
* Maafkan Ika sebab Ika yang tak hubungi enti meskipun nombor enti tak pernah bertukar

Hasil daripada mesej ku ini (detailnya tidak dapat ku ceritakan di sini), tidak kusangka terselit satu hikmah yang sangat besar. Hikmah ini juga telah membuka mataku untuk lebih giat berdakwah atas jalan yang ku pilih ini. Hikmah ini juga secara automatiknya memberikan aku amanah yang sangat besar yang aku tidak pernah terfikir sebelum ini. Walaupun hatiku masih bimbang dengan keupayaan diriku untuk berjuang bersamamu tapi aku bernekad memilih bersama-sama denganmu di atas jalan dakwah walaupun aku tahu cabaran yang bakal ku terima. Enti pernah untuk berdakwah pada diri ini tapi aku belum mengerti pada masa itu. Tapi kini, Allah sudah tetapkan kita untuk bersama-sama kembali tapi dengan misi yang lebih hebat...!!

Aku berharap misi kita akan berjaya sahabatku. Walaupun baru sahaja berhubung semula, tetapi kita bukan sekadar bertanya khabar. Rupa-rupanya terselit satu hikmah dimana Allah mahukan kita berhubung tetapi dengan satu misi penting untuk dilaksanakan. Betapa enti mempercayai diri ini. Terima kasih enti...semoga ukhuwah kita selepas ini lebih hebat kerana kita mempunyai fikrah yang sama dan berada di atas jalan yang sama...Ukhuwah fillah abadan abada...

*Tulisan ini khas untuk enti jika enti membacanya...

selama ini ku mencari-cari,
teman yang sejati,
buat menemani perjuangan suci,
bersyukur kini pada Mu Illahi,
teman yang dicari,
selama ini,
telah ku temui...



Saturday, January 29, 2011

Dunia Ibarat Kotak

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW...

Lama rasanya tidak meng'update' blog. Banyak rasanya nak berkongsi tapi apakan daya masa membataskan ditambah pula line yang selalu on off. Tapi saya tetap akan meneruskan perkongsian ini tidak kira lambat atau cepat saya pasti akan menyampaikannya. Rasulullah pun pernah berpesan, "Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat".

Saya ada menghadiri satu kuliah maghrib beberapa minggu yang lepas. Walaupun ringkas tapi sesungguhnya cukup untuk menggetarkan hati saya. Betul-betul menyedarkan saya apa erti hidup di dunia ini. Ya, seperti yang kita semua tahu, manusia hidup di dunia mempunyai 2 tujuan utama iaitu menjadi hamba-Nya dan menjadi khalifah untuk sekalian makhluk yang lain yang mana suatu masa dahulu pernah ditawarkan untuk menjadi khalifah tetapi semuanya tidak sanggup melainkan manusia. Manusia yang dikatakan selalu berbuat kerosakan di atas muka bumi. Adakah anda menafikan kenyataan ini??? (tepuk dada tanya iman)

Tajuk pada malam itu ialah ROBOT. Manusia hanyalah robot. Robot adalah suatu ciptaan yang memiliki penciptanya dan ia dicipta untuk mentaati dan menjalani suruhan penciptanya. Jadi, betullah manusia tidak ubah seperti robot. Satu persoalan timbul, jika kita seperti robot, jadi layakkah kita untuk mengingkari suruhan Maha Pencipta??? (tepuk dada tanya iman). Akan tetapi, manusia mempunyai kelebihan iaitu diberikan akal dan ia tidak ada pada robot mahupun makhluk Allah yang lain. Akal diberi supaya kita dapat membezakan yang HAK dan yang BATIL. Timbul persoalan kedua, adakah kita menggunakan akal yang diberikan dengan sebaik-baiknya untuk membezakan kedua-dua itu? Walaupun kita dapat membezakannya (i mean, kita tahu yang mana benar dan yang mana salah) tapi betulkah kita benar-benar mempraktikkannya atau cukup sekadar teori??? (tepuk dada tanya iman)

Persoalan ini saya rasa seperti betul-betul terkena batang hidung sendiri...

Ini sebenarnya yang ingin saya tekankan...(please lend me your eyes and read with your heart)

Dunia ibarat kotak. 


Sebelum di masukkan ke alam dunia, kita sudah melewati alam ruh. Kemudian alam rahim selama 9 bulan dan mungkin ada yang kurang atau lebih. Kemudian masuklah kita ke alam dunia (dalam kotak PINK) yang penuh dengan kenikmatan. Hiduplah kita selama beberapa waktu yang ditetapkan dan setiap orang mempunyai waktu masing-masing.

Tahukah anda, kita sebenarnya sedang menuju kepada kehidupan yang infiniti iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan tiada penghujung? Adakah apa yang anda lakukan sekarang hanya semata-mata ingin mendapatkan kebahagian sebentar yang cuma seluas kotak PINK itu? Jika jawapan anda tidak, maka beruntunglah anda kerana telah memilih untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih besar nikmatnya daripada nikmat yang hanya sekotak PINK itu. (saya turut muhasabah dengan pertanyaan saya sendiri)

Saya cuma ingin menyedarkan anda dan terutamanya kepada diri saya sendiri. Ketahuilah, peranan kita di dunia jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan. Saya bagi contoh, jika anda niat belajar untuk mengubah nasib keluarga atau membahagiakan ibu ayah, anda patut tahu peranan anda lebih dari itu. Kita menambah ilmu untuk mengubah nasib bangsa Islam supaya di pandang tinggi dan tidak di perolok-olokkan oleh bangsa lain. Jadi, cukupkah kita sekadar menambah ilmu duniawi untuk kita mengubah nasib umat Islam? Ilmu duniawi dan ukhrawi perlu seiring. Peranan kita bukan sekadar seorang mahasiswa atau mahasiswi tetapi juga seorang daie. Gunakanlah masa yang ada untuk Islam sementara kita masih di dalam kotak PINK itu. Kerahkan seluruh tenaga yang ada untuk Islam sementara kita belum keluar dari kotak PINK itu. Gunakanlah apa saja yang ada dengan sebaik-baiknya kerana hidup kita bukan untuk mendapat bahagia sekadar seluas kotak PINK itu. Akan tetapi, carilah bahagia yang hakiki. Bahagia yang jauh lebih luas dari kotak PINK itu!

Bagaimana perjalanan anda di dalam kotak itu (dunia) yang menentukan kehidupan anda di luar kotak (akhirat). Takutlah! Gentarlah! dengan apa yang anda sedang lakukan. (saya juga seperti anda, masih mencari diri sendiri dan still ragu-ragu dengan potensi diri untuk menjadi daie tapi bila lagi kita nak berjaya menjadi daie jika tak mulakan langkah awal..) Beranikan diri untuk mengubah diri sendiri dan seterusnya masyarakat Islam.

Satu lagi analogi.....

Cuba anda bayangkan, kita belajar selama lebih kurang 19 tahun (tadika+sek rendah+sek mngh+universiti). Adakah kita belajar selama 19 tahun semata-mata ingin mengecapi kejayaan yang hanya lebih kurang 40 tahun? (average umur umat baginda lebih kurang 63 tahun iaitu umur baginda wafat) dan mungkin ada yang lebih atau kurang dari itu. Cukupkah sekadar itu kita ingin bahagia??? That's all??? Full stop???

Marilah kita sama-sama berusaha mendapatkan kebahagian di dunia dan lebih-lebih lagi akhirat. Pertama sekali, carilah redha Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan. InsyaAllah hidup yang diberkati membawa kepada bahagia yang hakiki. Sama-sama lah kita nasihat menasihati dan doa mendoakan. Doakan juga supaya saya terus kuat, sekuat Salahuddin Al-Ayyubi dan terus tabah, setabah Sultan Muhamad Al-Fateh. (Dua tokoh remaja yang amat saya kagumi). Semoga Allah merahmati perjuangan kita.....=D


beri cintamu hanya pada-Nya