Sesungguhnya mati itu pasti dirasai oleh setiap anak adam yang lahir ke dunia. Dunia hanya sebuah tempat persinggahan. Telah disebutkan bahawa kehidupan satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Kehidupan di dunia ini seolah-olah tidak sampai satu hari pun kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Apa sangat lah harta benda, pangkat dan pujian yang melambung tinggi di dunia ini andainya muflis di akhirat.
Jika sebelum ini kita tumpang gembira dengan sahabat-sahabat yang bertemu jodoh pada usia yang muda, mungkin kita terlupa seketika bahawa ajal juga boleh bertemu kita pada usia yang muda. Saya bertanya kembali pada diri. Sempatkah aku memegang segulung ijazah? Sempatkah aku bekerja untuk menampung keluarga? Tercapaikah impian untuk melahirkan seorang mujahid/ah seperti Saidina Ali dan Siti Fatimah? Tercapaikah impian untuk menjejakkan kaki di Tanah Haram bertemuNya di sana? Akan tertunaikah amanah aku di dunia ini sebagai seorang khalifah dan hambaNya? Semua itu berlegar-legar di fikiran...Sempatkah...
Ya Allah...maafkan aku...aku terlupa semua itu...aku terlupa mati tak mengenal usia...hanya yang aku pohon, ambillah nyawaku pada saat aku bersemangat dalam beribadah padaMu dan saat jiwa aku berkobar-kobar mempertahankan agamaMu.
Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Sesungguhnya kematian benar-benar membuatkan kita insaf. Semoga aku tidak lupa semua ini. Semoga aku sentiasa beringat-ingat dengan hari yang pasti. Semoga namaku disebut-sebut oleh penghuni langit dan semoga pengakhiran hidupku adalah manis.
Al-Fatihah buat semua muslimin muslimat yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu menghadap Ilahi.Buat arwah adha dan amierul yang telah kembali ke rahmatullah pada 150611, doakan semoga keluarga mereka tabah hadapi semua ini. Walaupun mereka tidak lama bersama kita dan selama hidupnya sentiasa membahagiakan, itu lebih baik daripada hidup lama tetapi hidupnya seperti tiada makna. Aku tak layak menuturkan semua ini kerana aku tidak pernah merasai ujian ini tetapi semua ini benar-benar buatkan aku berfikir.Sama-sama kita bermuhasabah.
Rencana Allah tiada siapa tahu tetapi ketentuan takdir qada' dan qadar suatu yang wajib kita imani
No comments:
Post a Comment