Dengan nama Allah yang Maha Pengasih & Maha Penyayang
Saya amat tertarik dengan sebuah cerita yang telah disampaikan oleh seorang ukhti. Pada zaman universitinya (luar negara), sebuah forum telah dianjurkan. Panel yang dijemput adalah seorang imam, seorang paderi dan seorang Yahudi. Mereka dijemput untuk memberikan pemahaman dan pendedahan kitab pegangan masing dimana Islam dengan Al-Quran, Nasrani(Kristian) dengan Bible dan Yahudi dengan Taurat (Talmud). Maka, ketiga-tiga mereka berhujah dengan pendapat masing-masing. Sudah pasti hujah yang paling meyakinkan adalah Al-Quran yang tiada keraguannya. Seorang hamba Allah yang baru sahaja memeluk Islam dan masih baru mengenali Islam telah bangkit dan berkata,"Bolehkah kita ketepikan dulu soal kitab masing-masing dan saya mahu mendengar hujah kalian tentang agama kalian". Imam itu berkata,"Tidak, tidak sempurna rukun iman jika kitab diketepikan. Islam turun bersama-sama Al-Quran".
Al-Quran sesekali tidak boleh diketepikan kerana Al-Quran lah yang mencorakkan kehidupan seorang muslim dan masyarakat muslim. Inilah yang dikatakan 6-1=0. Hilang 1 maka hilanglah keseluruhannya. Betapa pentingnya Al-Quran dalam kehidupan kita. Al-Quran bukan semata-mata ayat yang menerangkan azab-azab kepada orang yang melakukan dosa atau keindahan nikmat syurga kepada orang-orang beriman, tetapi Al-Quran adalah KATA-KATA ALLAH. Segala isi Al-Quran meliputi seluruh kehidupan kita termasuk ekonomi, sosial, politik dan juga sejarah umat-umat terdahulu untuk kita jadikan pengajaran. Sesungguhnya sesiapa yang membaca dan bertadabbur Al-Quran pastilah bertambah imannya.
Kerana Al-Quran adalah CAHAYA.
"Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, dan telah Kami turunkan cahaya yang terang-benderang (Al-Quran)" (An-Nisa:174)
Kerana Al-Quran mempunyai RUH.
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mngetahui apakah kitab (AL-Quran) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk siapa yang Kami kehendaki diantara hamba-hamba Kami. Dan sungguh engkau benar-benar membimbing manusia kepada jalan yang lurus."
Jadi, sukalah saya untuk berkongsi ilmu dari apa yang telah saya dapat dengan rakan-rakan yang dirahmati Allah.
Bagaimana cara untuk kita merasai seolah-olah sedang berinteraksi dengan Al-Quran?
1. Membaca
2. Fahami kandungan (tadabbur)
3. Ikut & laksanakan
4. Hafaz
5. Mendakwahkan Al-Quran
Dimanakah tingkat kita? Jujur saya katakan, belum sempurna tingkatan yang telah dapat saya lakukan. Tetapi sekurang-kurangnya kita perlu ada keazaman untuk melakukan kelima-lima perkara tersebut. Sedikit demi sedikit. InsyaAllah dipermudahkan.
Teringat saya sebuah kisah tentang sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Mereka tidak akan meneruskan hafalan ayat seterusnya jika tidak betul-betul melaksanakan ayat yang sebelumnya. Kagum dengan keazaman para sahabat.
Lagi sebuah kisah, Umar telah jatuh tersungkur dan pengsan tatkala mendengar seseorang membacakan ayat dari surah At-Tur: 7-8
"Sungguh azab Tuhanmu pasti terjadi. Tidak sesuatu pon yang dapat menolaknya"
Umar merasakan itu adalah kata-kata dari Allah untuknya. Betapa hidupnya hati Umar sehingga merasakan seolah-olah sedang berinteraksi dengan Al-Quran dan merasakan Allah sedang berbicara dengannya. Sedangkan Umar sudah terjamin syurga bersama 9 sahabat yang lain, apatah lagi kita.Renungan bersama...
Jadi, bagaimana pula cara untuk kita menghayati Al-Quran?
1. Bacalah Al-Quran secara tartil (perlahan-lahan, bertajwid,renungkan maksud)
"Bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan" (Al-Muzammil:4)
2. Dengar bacaan-bacaan ayat Al-Quran
3. Baca dalam keadaan menangis
Saranan Rasulullah SAW,
"Bacalah olehmu wahai orang-orang beriman ayat dari Al-Quran dalam keadaan kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis, usahakanlah untuk menangis"
Jadi, buangkanlah segala perasaan ego. Hati-hati yang mudah menangis inilah yang lebih mudah untuk dilunak, dilentur dan didekatkan jiwanya kepada Allah. Jangan sampai sahabat-sahabat rasakan seperti tiada perasaan apabila melewati ayat-ayat yang sebenarnya ditujukan kepada kita. Bimbanglah..pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sama-sama kita muhasabah...
Saya hanya manusia yang sekadar merasa diri ini dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan sesuatu yang saya rasakan berguna. Masih banyak kekurangan dan mohon ampun jika ada kesalahan atau yang paling ditakuti jika ada terasa hati tetapi dipendamkan. (tak lama lagi nak final dah..maaf kawan-kawan..susah pulak ilmu nak masuk kalau hati gelap..huhu) Yang baik dari Allah, yang buruk dari kelemahan yang disandarkan pada diri ini.
Sekian...Wassalam
No comments:
Post a Comment