Saturday, November 27, 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel (Part 2)

"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"
~Surah Al-Fath:1~

Kota Konstantinopel menjadi kebanggaan kerajaan Rom kerana kedudukannya yang strategik. Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul bermaksud Islam keseluruhannya terletak di sempadan benua Asia dan Eropah dan dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Kerana itu Napoleon pernah berkata, 

"...kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!"
~Napoleon Bonapart~


Kerajaan Byzantium sering mengancam perkembangan Islam. Nabi Muhammad SAW pernah mengutuskan surat kepada Maharaja Rom tetapi surat itu dikoyak-koyakkan sehingga baginda berdoa semoga kerajaan Rom dikoyak-koyakkan oleh tentera Islam. Nabi Muhammad pernah bersabda,

"Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik"

Usaha menakluk Konstantinopel dimulakan oleh:
Saidina Ali (34 Hijrah)
Muawiyah bin Abu Sufyan (84 Hijrah)
Sultan Sulaiman (91 Hijrah)
Khalifah Harun al-Rashid (165 Hijrah)
Sultan Beyazid (1391, 1397 dan 1400 Hijrah)

Tetapi, semuanya menemui kegagalan. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW. Akhirnya, pada 20 Jamadil Awal tahun 857 Hijrah bersamaan 29hb Mei 1435 Masihi, Kota Konstantinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada usianya yang baru mencecah 21 tahun. Selepas lebih 800 tahun hadis tersebut diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi ia kenyataan.

Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 27 Rejab 835 Hijrah bersamaan  29 Mac 1432 M. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481. Baginda menaiki takhta pada usia yang amat muda iaitu ketika berusia 19 tahun menggantikan ayahandanya Sultan Murad. Sultan Muhammad al-Fateh sejak di dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim ulama', Sheikh Shamsuddin al-Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad,"Wahai Sultan Murad, bukan engkau yang akan membebaskan kota Konstantinopel tetapi anak yang di dalam buaian itu." Sambil menunjuk kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Sejak itu baginda dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Baginda membesar sebagai pemuda yang tampan, bentuk badan yang tegap, kuat, tinggi dan pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya yang mancung.

Bermacam-macam usaha dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh serta pengikut-pengikutnya yang rela berjuang di jalan Allah dan merindukan syahid. Dalam usaha membebaskan Konstantinopel, tentera Turki menggunakan sejenis senjata yang dikatakan belum ada senjata lain yang dapat menandinginya. Senjata itu dinamakan meriam. Ia direka oleh seorang lelaki Yunani bernama Urban dan ia mampu dilontar jauh serta merobohkan tembok kota Konstantinopel. Walaupun memiliki senjata canggih itu, setelah 44 hari mengepung kota Konstantinopel tetapi mereka masih belum mampu menembusi benteng tersebut. Ramai yang sudah seperti patah semangat kerana di saat itu mereka menganggap sudah di ambang kekalahan. 

Walau bagaimanapun, Sultan Muhammad al-Fateh masih belum berputus asa kerana baginda tetap yakin dengan hadis yang telah disebutkan Rasulullah SAW 800 tahun dahulu. Sebenarnya sudah beberapa kali dalam mimpinya baginda bermimpi dengan mimpi yang sama. Akhirnya, baginda menceritakan mimpinya kepada Sheikh Samsuddin al-Wali. "Saya melihat kapal-kapal perang kta berlayar di atas daratan melintasi Semenanjung Fera lalu berlabuh di depan kota Konstantinopel." Mengikut firasat Sheikh Samsuddin al-Wali, itu benar-benar satu petunjuk dari Allah. Walaupun kelihatan mustahil untuk memindahkan kapal-kapal perang ke Tanduk Emas melalui jalan darat tetapi dengan izin Allah semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi keadaan ini benar-benar menegakkan bulu roma Maharaja Konstantine apabila melihat 70 buah kapal tentera Turki betul-betul berada dihadapan kota Konstantinopel. Terlopong mulut Maharaja Konstantine kerana belum pernah berlaku kapal berlayar di atas daratan.

"Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannnya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya mengatasi Alexander The Great!"
~Pakar Sejarah Byzantine~

Sesungguhnya tidak mudah usaha tentera-tentera Islam ingin menawan kota Konstantinopel kerana bermacam-macam halangan terpaksa mereka tempuh sehingga ada juga ketikanya mereka sudah berasa putus asa dan sudah tiada harapan. Sultan Muhammad al-Fateh walaupun masih berdarah muda tidak pernah luntur semangat dan sentiasa mempertingkatkan lagi usaha diiringi dengan doa yang tidak putus-putus untuk mencapai cita-cita iaitu menembusi tembok dan seterusnya menawan kota Konstantinopel.

Sejenak, Sheikh Samsuddin yang memiliki ilmu firasat yang sangat tinggi duduk bertafakur kemudian menadah tangan lalu memohon doa dan petunjuk. Selepas itu dia berkata kepada Sultan Muhammad al-Fateh, "Dengan izin Allah, kota Konstantinopel pasti jatuh ke tangan tentera Islam pada hari ke-53 bersamaan hari Selasa, jam 11 pagi." Jawapan itu benar-benar menggembirakan hati Sultan Muhammad al-Fateh. Namun baginda sedar Tuhan tidak memberikan kejayaan itu dengan mudah tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sementara menunggu masa yang dijanjikan itu, baginda memperhebatkan lagi serangan ke atas tentera Rom. Pada waktu siang mereka melancarkan serangan yang hebat manakala pada waktu malam tentera Islam mempertingkatkan amal ibadat. Begitu hebatnya usaha tentera Islam ketika itu dan memang patut kita contohi.

Akhirnya tiba hari yang ditunggu-tunggu. Berlakulah pertempuran sengit antara tentera Islam Turki dengan tentera Rom. Asakan demi asakan diterima tentera Rom dan menyebabkan pertahanan mereka semakin lemah. Mereka akhirnya berjaya menyerbu masuk ke dalam kota Konstantinopel melalui pintu Edirne. Sultan Muhammad al-Fateh akhirnya berjaya membunuh Maharaja Konstantine dan kota Konstantinopel berjaya ditawan. 

Benarlah maksud sebuah hadis Rasulullah SAW iaitu Kota Konstantinopel hanya jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik. Bermacam-macam usaha dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh untuk merealisasikan maksud hadis Rasulullah SAW ini. Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut kisah ini, rakan-rakan semua patut memiliki buku ini. Buku yang setebal 324 muka surat insyaAllah dapat dijadikan inspirasi untuk kita berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap perkara dan menjadi hebat seperti Sultan Muhammad al-Fateh. Selamat berusaha dalam semua perkara kerana ia akan dikira sebagai ibadah! =D



No comments:

Post a Comment