Saturday, January 29, 2011

Dunia Ibarat Kotak

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW...

Lama rasanya tidak meng'update' blog. Banyak rasanya nak berkongsi tapi apakan daya masa membataskan ditambah pula line yang selalu on off. Tapi saya tetap akan meneruskan perkongsian ini tidak kira lambat atau cepat saya pasti akan menyampaikannya. Rasulullah pun pernah berpesan, "Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat".

Saya ada menghadiri satu kuliah maghrib beberapa minggu yang lepas. Walaupun ringkas tapi sesungguhnya cukup untuk menggetarkan hati saya. Betul-betul menyedarkan saya apa erti hidup di dunia ini. Ya, seperti yang kita semua tahu, manusia hidup di dunia mempunyai 2 tujuan utama iaitu menjadi hamba-Nya dan menjadi khalifah untuk sekalian makhluk yang lain yang mana suatu masa dahulu pernah ditawarkan untuk menjadi khalifah tetapi semuanya tidak sanggup melainkan manusia. Manusia yang dikatakan selalu berbuat kerosakan di atas muka bumi. Adakah anda menafikan kenyataan ini??? (tepuk dada tanya iman)

Tajuk pada malam itu ialah ROBOT. Manusia hanyalah robot. Robot adalah suatu ciptaan yang memiliki penciptanya dan ia dicipta untuk mentaati dan menjalani suruhan penciptanya. Jadi, betullah manusia tidak ubah seperti robot. Satu persoalan timbul, jika kita seperti robot, jadi layakkah kita untuk mengingkari suruhan Maha Pencipta??? (tepuk dada tanya iman). Akan tetapi, manusia mempunyai kelebihan iaitu diberikan akal dan ia tidak ada pada robot mahupun makhluk Allah yang lain. Akal diberi supaya kita dapat membezakan yang HAK dan yang BATIL. Timbul persoalan kedua, adakah kita menggunakan akal yang diberikan dengan sebaik-baiknya untuk membezakan kedua-dua itu? Walaupun kita dapat membezakannya (i mean, kita tahu yang mana benar dan yang mana salah) tapi betulkah kita benar-benar mempraktikkannya atau cukup sekadar teori??? (tepuk dada tanya iman)

Persoalan ini saya rasa seperti betul-betul terkena batang hidung sendiri...

Ini sebenarnya yang ingin saya tekankan...(please lend me your eyes and read with your heart)

Dunia ibarat kotak. 


Sebelum di masukkan ke alam dunia, kita sudah melewati alam ruh. Kemudian alam rahim selama 9 bulan dan mungkin ada yang kurang atau lebih. Kemudian masuklah kita ke alam dunia (dalam kotak PINK) yang penuh dengan kenikmatan. Hiduplah kita selama beberapa waktu yang ditetapkan dan setiap orang mempunyai waktu masing-masing.

Tahukah anda, kita sebenarnya sedang menuju kepada kehidupan yang infiniti iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan tiada penghujung? Adakah apa yang anda lakukan sekarang hanya semata-mata ingin mendapatkan kebahagian sebentar yang cuma seluas kotak PINK itu? Jika jawapan anda tidak, maka beruntunglah anda kerana telah memilih untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih besar nikmatnya daripada nikmat yang hanya sekotak PINK itu. (saya turut muhasabah dengan pertanyaan saya sendiri)

Saya cuma ingin menyedarkan anda dan terutamanya kepada diri saya sendiri. Ketahuilah, peranan kita di dunia jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan. Saya bagi contoh, jika anda niat belajar untuk mengubah nasib keluarga atau membahagiakan ibu ayah, anda patut tahu peranan anda lebih dari itu. Kita menambah ilmu untuk mengubah nasib bangsa Islam supaya di pandang tinggi dan tidak di perolok-olokkan oleh bangsa lain. Jadi, cukupkah kita sekadar menambah ilmu duniawi untuk kita mengubah nasib umat Islam? Ilmu duniawi dan ukhrawi perlu seiring. Peranan kita bukan sekadar seorang mahasiswa atau mahasiswi tetapi juga seorang daie. Gunakanlah masa yang ada untuk Islam sementara kita masih di dalam kotak PINK itu. Kerahkan seluruh tenaga yang ada untuk Islam sementara kita belum keluar dari kotak PINK itu. Gunakanlah apa saja yang ada dengan sebaik-baiknya kerana hidup kita bukan untuk mendapat bahagia sekadar seluas kotak PINK itu. Akan tetapi, carilah bahagia yang hakiki. Bahagia yang jauh lebih luas dari kotak PINK itu!

Bagaimana perjalanan anda di dalam kotak itu (dunia) yang menentukan kehidupan anda di luar kotak (akhirat). Takutlah! Gentarlah! dengan apa yang anda sedang lakukan. (saya juga seperti anda, masih mencari diri sendiri dan still ragu-ragu dengan potensi diri untuk menjadi daie tapi bila lagi kita nak berjaya menjadi daie jika tak mulakan langkah awal..) Beranikan diri untuk mengubah diri sendiri dan seterusnya masyarakat Islam.

Satu lagi analogi.....

Cuba anda bayangkan, kita belajar selama lebih kurang 19 tahun (tadika+sek rendah+sek mngh+universiti). Adakah kita belajar selama 19 tahun semata-mata ingin mengecapi kejayaan yang hanya lebih kurang 40 tahun? (average umur umat baginda lebih kurang 63 tahun iaitu umur baginda wafat) dan mungkin ada yang lebih atau kurang dari itu. Cukupkah sekadar itu kita ingin bahagia??? That's all??? Full stop???

Marilah kita sama-sama berusaha mendapatkan kebahagian di dunia dan lebih-lebih lagi akhirat. Pertama sekali, carilah redha Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan. InsyaAllah hidup yang diberkati membawa kepada bahagia yang hakiki. Sama-sama lah kita nasihat menasihati dan doa mendoakan. Doakan juga supaya saya terus kuat, sekuat Salahuddin Al-Ayyubi dan terus tabah, setabah Sultan Muhamad Al-Fateh. (Dua tokoh remaja yang amat saya kagumi). Semoga Allah merahmati perjuangan kita.....=D


beri cintamu hanya pada-Nya