Wahai hati,
Tatkala nikmat dunia kamu kecapi
Terasa semuanya kerana usaha sendiri
Betapa bersusah payah kamu mengejar semua
ini
Akhirnya dunia seperti tunduk di kaki
Bangganya kamu wahai hati
Wahai jiwa,
Tahukah engkau akan rahsia dunia?
Dunia ini tampak indah di mata
Semua terpesona dengan permainan sementara
Pentas ciptaan manusia
Tahukah engkau akan akhirnya?
Terasa hidup di dunia hanya sekelip mata
Kini baru tersedar
Dunia tidak kekal lama
Sungguh tidak berguna segala nikmat yang
kamu bangga-bangga
Kerana semua itu pasti binasa
Wahai kalbu,
Kamu mesti tahu akan sesuatu
Allah menciptakan semua ini untuk mengujimu
Melihat sejauh mana kekuatanmu
Menghadapi dunia yang penuh debu
Jangan kamu terpedaya dengan keseronokan
palsu
Syaitan pasti mendabik dada jika dapat
menawanmu
Teguhkanlah dirimu dengan iman dan takwa
Kembalilah pada Dia yang menciptakan kamu
dan seisi dunia
Dia yang memberikan nikmat dan menjadikan
hidupmu terasa sempurna
Yakinlah dengan-Nya
Bekerjalah untuk-Nya
Bergantunglah hanya pada-Nya
Nescaya terasa indah berada dalam dakapan
kasih sayang-Nya
Ya Rahman,
Ampunilah kami yang terlalu banyak
kesilapan
Seringkali jua tersungkur dengan sedikit
cobaan
Jangan biarkan kami terkeluar dari landasan
Pimpinlah kami ke jalan kebenaran
Yang telah Engkau sediakan kepada
hamba-hamba pilihan
Ya Rabb,
Campakkan perasaan kasih dan setia kami
kepadaMu
Tiada yang lebih berhak memiliki cinta ini
selain daripadaMu
Istiqomahkan hati ini untuk terus berada di
jalanMu
Redhai kami dalam setiap perbuatan
Rahmati kami dalam setiap urusan
Basahkan lidah kami dengan lafaz syukur
atas segala kurniaan
Kerana kami yakin akan hari pertemuan
Di mana terjawab segala persoalan
Maka, nikmat TuhanMu yang manakah kamu
dustakan?